Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. "Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah"”. Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?". Nabi saw. menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”.

H.R. Ibnu Majah

Saturday 9 April 2011

MAKANAN KELANTAN

Sudah menjadi kebiasaan bagi orang yg menjadi perantauan macam aku ni. Sering teringatkan masakan dan juadah di tempat asal aku. Aku asal dari kelantan, Kelantan adalah syurga makanan dan budak- budak negeri lain jangan tersinggung kalau aku cakap makan paling sedap kat Malaysia ni adalah masakan Kelantan... Macam biasa, Kelantan terkenal dengan dua jenis masakan utama iaitu nasi dan kuih muih. Boleh dikatakan orang kelantan makan nasi tiga kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Kuih Muih pula ada yang hanya boleh didapati semasa bulan Ramadhan sahaja dan ada yg ada sepanjang masa.

NASI 

1. NASI BERLAUK
Inilah uniknya orang kelantan apabila bersarapan. kami akan menikmati nasi berlauk pada waktu pagi. Nasi berlauk kelantan mengandungi nasi putih, gulai ikan aya (tongkol) atau ayam, sambal dan timun batang. Biasanya ia dinikmati di kedai kopi. kuih muih sebagai sampingan sahaja. Tiada roti canai, tosai sebab di Kelantan kedai mamak memang susah nak maju dan orang kelantan kebanyakan makan roti canai pada waktu malam. Itu pun di kedai Melayu.


2. NASI DAGANG
Nasi Dagang kelantan berbeza sedikit berbanding nasi dagang Terengganu. Ianya berbeza dari segi warna berasnya yang berwarna perang berbanding dari Terengganu yang berwana putih. Rasa dan warna kuahnya sedikit berlainan. Ianya dihidangkan bersama acar timun untuk mengelakkan muak. Ada sesetengah kedai yang menjualnya sebagai juadah bersarapan.









3. Nasi Tumpang
Nasi ini dah termasuk dalam senarai 100 juadah warisan negara. Nasi ini memang dan hanya terdapat di Kelantan sahaja. Aku sebagai rakyat kelantan pun belum pernah cuba makan nasi ini. Ianya nasi dan lauk pauk disusun secara lapis-lapis di atas daun pisang dan digulung membentuk sebuah kon.




4. NASI KERABU

Barangkali inilah nasi yang paling terkenal dan sering dikaitkan dengan negeri Kelantan- Nasi Kerabu. Ianya terdapat dalam tiga variasi warna- putih, biru dan kuning. Warna putih merupakan warna beras tanpa campuran pewarna. Warna biru pula dihasilkan melalui perahan bunga telang manakala warna kuning pula hasil campuran kunyit. Tetapi kebanyakan nasi kerabu hari ini menggunakan pewarna. Nasi kerabu dimakan bersama bermacam jenis ulam yg dimayang halus dan digaulkan dengan sambal kelapa (kelapa goreng dan ditumbuk bersama isi ikan dan bawang besar).Ianya boleh dimakan kosong atau dgn keropok ikan, ikan goreng celup tepung, ayam dan daging bakar, ayam percik dan sebagainya..

5. NASI AIR
Ramai yang tertukar nasi air dengan bubur nasi. Di kelantan nasi air dan bubur nasi adalah dua entiti yang berbeza. Nasi air dihasilkan apabila beras putih ditanak dengan air yg lebih banyak berbanding nasi biasa. Nasi yg dihasilkan agak lembik sedikit berbanding nasi yang kita selalu makan. Selepas siap ditanak nasi dilenyek-lenyek sedikit dan dicampurkan dengan kuah seperti kuah mee celup dan mee rebus. Kuahnya mengandungi hirisan ayam, sayur, dan ikan bilis goreng. Bagi yang suka pedas, sambal juga boleh ditambah.



LAUK PAUK
AYAM PERCIK
Ayam percik ialah ayam yang dibakar dan dicelup dengan kuah percik. Kuah percik dihasilkan dengan memasak santan dengan rempah-rempah tertentu. Terdapat dalam dua variasi warna iaitu agak kemerahan (hasil campuran lada kering) dan putih (tiada campuran lada kering hanya santan sahaja). Terdapat lauk lain yang boleh dibuat percik iaitu Ikan, perut ayam, dan bahagian dalam ayam.Boleh dimakan bersama nasi putih atau nasi Kerabu
















KUIH MUIH
1. CEK MEK MOLEK
Diperbuat daripada isi ubi stelo ( ubi keledek) yang diuli bersama tepung dan digentel menjadi bujur. Isinya hanya gula. Sungguh enak dimakan ketika minum petang. Nikmatnya apabila digigit keluar air gula meleleh.

2. AKOK
Ini merupakan kuih yang paling banyak dikaitkan dengan kelantan. Ianya diperbuat daripada putih telur yang dipukul sebati bersama tepung gandum dan gula melaka. Tekstur akok ditentukan berdasarkan nisbah telur dan tepung yang digunakan,Ianya dibakar didalam oven menggunakan acuan khas. Hidangan berbuka yang wajib semasa berpuasa. Banyak didapati ketika bulan Ramadhan. Juga boleh didapati ketika bulan lain jika pandai mencari kedai yang membuatnya.

3.WOH GOMOK
Isi Kelapa yang dimasak bersama gula melaka sehingga kering. Dibentuk bulat dan ditabur dengan tepung kacang hijau yang dikisar halus (dicampur dgn tepung biasa). Kuih ini tidak bermusim.

4. LOMPAT TIKAM.
Kuih ini tidak bermusim. Mengandungi potongan tepung pulut, pulut merah dan dicampur bersama santan dan gula merah.

5. JALA EMAS.
Ianya dibuat dengan campuran kuning telur dan tepung dan dimasak dalam air gula. Pada zaman dahulu ianya menjadi santapan diraja kerana kos penghasilannya yang tinggi dan cara penghasilannya agak rumit. Pada masa kini ianya dibuat sebagai hantaran perkahwinan.


6.BUAH TANJUNG
Cara penghasilannya sama seperti jala emas cuma ianya digentel bulat seperti buah tanjung dulu sebelum dimasak dengan air gula. Popular ketika bulan puasa.

7.PUTERI MANDI
Tepung pulut (pelbagai warna) yang dibentuk seperti sel darah merah dan direbus kemudiannya dimasak bersama gula melaka dan parutan kelapa muda. Popular ketika berbuka


Kebanyakan kuih-muih dan masakan orang kelantan sekarang sudah boleh didapati di seluruh Malaysia disebabkan ramai orang kelantan yang berhijrah keluar kerana bekerja atau perkahwinan. Namun ada juga sesetengah masakan yang hanya terdapat di Kelantan. Kuih Muih di Kelantan agak manis bagi sesiapa yang tidak biasa. Tetapi sekarang rasa manis dan makin kurang (tapi masih manis) mungkin kerana harga gula yang semakin mahal. Diharapkan agar rakyat Kelantan tidak akan melupakan makanan-makanan tradisional kelantan kerana siapa lagi yang ingin memeliharanya kalau bukan anak kelantan sendiri.

1 comment: